Showing posts with label pendidikan anak-anak. Show all posts
Showing posts with label pendidikan anak-anak. Show all posts

Monday, October 5, 2009

Anak-anak Yang Diinginkan ISLAM

ISLAM berkehendak pada yang baik dan berikut ialah syarat-syarat yang perlu ada pada diri anak-anak, iaitu:
  1. Badan yang sihat dan kuat
  2. Berilmu
  3. Bercita-cita tinggi
  4. Berakhlak mulia
  5. Taat kepada peraturan Allah s.w.t
Badan yang sihat dan kuat

Dengan adanya kesihatan yang baik dari segi fizikal dan mental maka anak-anak mempunyai peluang yang baik untuk mencapai kemajuan. Allah mencintai umat-Nya yang mempunyai badan yang sihat dan kuat seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dicintai Allah dari orang mukmin yang lemah." ( Hadis riwayat Muslim )

Untuk menjamin kesihatan, anak-anak perlu diberi makanan yang baik dan segala penyakit perlu diubati dengan segera. Hanya satu penyakit sahaja dalam dunia ini yang tidak dapat diubati melainkan sakit tua.

Berlimu

Islam memuji orang-orang yang berilmu spertimana firman Allah s.w.t:

Ertinya:
"Nescaya Allah akan meninggikan beberapa darjat orang-orang yang beriman dari antara kamu dan orang-orang yang mempunyai ilmu." (Al-Mujadalah:11)

Islam sememangnya mengajarkan umatnya menuntut ilmu dari masa lahir sehingga saat mati dan menuntut ilmu di mana-mana sahaja. Di dalam Islam orang yang berilmu ialah manusia yang terpuji di sisi Allah dan martabatnya akan diangkat setinggi-tingginya. Ada hadis yang menggalakkan umat manusia supaya menuntut ilmu walaupun sampai ke negeri China.

Ulama-ulama Islam telah membahagikan kandungan hukum-hukum al-Quran kepada 3 hukum, iaitu:

  • Hukum Akidah
  • Hukum Syariah
  • Hukum Akhlak
Dalam aspek ini manusia mempunyai 6 tugas, iaitu:

  1. Mengimaninya
  2. Mempelajarinya
  3. Mengamalkannya
  4. Menyiarkannya
  5. Mempertahankannya
  6. Memelihara kehormatannya
Memang jelas islam menghendaki anak-anak kita dididik dengan ilmu umum dan ilmu agama. Dengan erti kata istilah Islam ilmu Sunnatullah dan ilmu Sinullah.

Bercita-cita tinggi

Orang-orang yang beriman haruslah menjadi orang-orang yang bercita-cita tinggi. Ketinggian, kebaikan, kemuliaan dan kekuasaan sesuatu bangsa hanya boleh dicapai dengan ilmu. Islam juga memerintahkan umatnya supaya mencari kejayaan setelah selesai mengerjakan solat sepertimana firman Allah s.w.t

Ertinya:
"Maka apabila sudah selesai solat hendaklah kamu bertaburan di bumi dan carilah kurnia Allah."(Al-Jumaah:10)

Tetapi semua kerja ini hendaklah dilakukan dengan halal. Terdapat juga hadis yang mengatakan agar bekerja kuat seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya. Pendek kata, cita-cita seorang anak-anak Muslim perlu diasuh seperti berikut iaitu mempunyai ilmu yang banyak, mempunyai kekayaan yang melimpah, kekuasaan yang tertinggi, akhlak yang mulia, badan yang kuat dan sihat serta mencapai hidup yang bahagia zahir dan batin di dunia dan akhirat.

Berakhlak Mulia

Islam mengajarkan akhlak yang baik dan mulia yang harus dimiliki dan diamalkan seperti dikatakan oleh para ulama Islam iaitu jujur. sabar, syukur, rajin, tawakal, ingatkan mati, merendahkan diri kepada allah s.w.t dan berbuat baik sesama manusia dan lain-lain.

Di samping itu Islam juga melarang umatnya melakukan perkara dan perbuatan yang buruk seperti khianat, iri hati, sombong dan bongkak, takbur, mengumpat dan sebagainya.

Taat kepada perintah Allah s.w.t

Pendek kata Islam mahukan manusia mentaati aturan Allah s.w.t dan Rasulnya di dalam segala aspek kehidupan spertimana firman Allah s.w.t:

Ertinya"
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan kepada Rasul-Nya."
(An-Anfal:20)

Saturday, September 12, 2009

Tanggungjawab Ibu Bapa Terhadap Anak-Anak

sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Apabila telah meninggal manusia putuslah amalnya, kecuali dari tiga perkara:sedekah jariah (umpamanya membuat masjid) atau ilmu yang memberi manfaat atau anak yang soleh yang mendoakannya."
(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Junjungan Nabi Muhammad s.a.w tersebut mencerminkan betapa pentingnya didikan yang wajib ditekan ke atas anak-anak di peringkat bayi sehingga baligh dan seterusnya ke peringkat remaja supaya mereka dapat menjadi anak yang soleh.

Andainya ibu bapa mewujudkan satu suasana yang bercorak kebaratan dalam rumah, iaitu bukan secara Islam maka ini akan membuatkan anak-anaknya berlagak seperti orang-orang Barat. Tidak ada langsung menunjukkan ciri-ciri orang Islam dari segi pertuturan, pemikiran dan tingkah lakunya.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

"Didiklah anak-anakmu atas tiga perkara:
  1. Mencintai Nabinya
  2. Mencintai ahli rumahnya
  3. membaca al-Quran, kerana si penghafal al-Quran, di dalam naungan Allah pada hari tidak ada naungan kecuali naungan-Nya beserta Nabi-nabinya dan orang-orang suci-Nya."
(Hadis riwayat Dailami)

Hadis ini menegaskan bahawasanya ibu bapa wajib mendidik anaknya supaya pandai membaca dan memahami al-Quran. Sebab kita membaca sesuatu adalah untuk kefahaman. Kita mesti faham apa yang dibacakan, jika tidak sia-sia sahaja dan ini adalah satu kerugian besar bagi diri sendiri.

Dengan erti kata lain ibu bapa Muslim wajib memainkan peranan untuk membesarkan anak-anak mereka agar menjadi insan Islam yang sebenarnya yang mematuhi ajaran al-Quran dan sunnah Nabi-Nya.

Anak-anak perempuan mesti dididik untuk mencerminkan Islam lebih-lebih lagi dalam hal pakaian, supaya menutup aurat agar apabila besar nanti tidak akan memakai pakaian yang bertentangan dengan kehendak Islam.

Anak-anak lelaki perlu dikawal supaya apabila besar nanti mereka tidak berpakaian tidak sempurna serta terlibat dengan najis dadah. Ibu bapa perlu menekankan kepada disiplin dan menggunakan psikologi yang bijak.

Yang penting dalam pendidikan anak-anak ialah untuk menanamkan keperibadian Islam yang murni dalam jiwa mereka. Kita berharap dengan benteng ini, apabila mereka besar kelak dapat menolak gejala-gejala yang bercanggah dengan agama Islam.

Dari sudut Islam penekanan amat penting diberikan kepada:
  • Ilmu-ilmu yang diberikan
  • Asas pelajaran yang diberikan
  • Pendidikan jasmani yang diberikan
  • memberi makanan dan minuman yang halal
  • Mencari jodoh untuk anak-anak apabila tiba waktunya
Diharap dengan terbinanya institusi keluarga Islam, ianya dapat memberikan sumber kekuatan untuk memantapkan satu masyarakat Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah. Ini dikira dapat menyumbangkan satu kekuatan ke arah pembangunan negara Islam serta mendapat penghormatan daripada bangsa dan negara lain. Lebih-lebih lagi masyarakat kita terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak secara positif, khususnya dalam pembentukan peribadi dengan sifat-sifat berikut:
  • Keyakinan penuh pada diri sendiri
  • Memuliakan diri sendiri sebagai hamba Allah
  • Menjaga nilai harga diri
  • Bersifat benar dalam segala hal
  • Berani menghadapi dugaan dan cabaran
  • Selalu bersifat tenang
Jangan sekali-kali ibu bapa memperkecilkan kecepatan kedewasaan anak-anak. Masa dan peluang perlu diberikan kepada anak-anak untuk maju. Mereka amat memerlukan bimbingan yang positif dan didikan yang sempurna dari ibu bapa.